Masjid Ubudiah 1991-2015

SEJARAH MASJID UBUDIAH DARI TAHUN 1991-2015
BUKIT CHANDAN, KUALA KANGSAR, PERAK
 
 Teks ditulis oleh Ar. Haji Mior Zawari Bin Haji Hassan, Jun 2015
 
PENGENALAN
Mungkin ramai yang tidak mengetahui, bahawa Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar telah diubahsuai dari reka bentuk asalnya pada tahun 1991 dengan tujuan untuk penambahan ruang solat. Secara amnya, Masjid Ubudiah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana rekabentuk senibinanya telah meletakkan masjid berkenaan di kebanyakkan peta-peta serta buku-buku pelancongan Malaysia. Pengubahsuaian ini telah mendapat perkenan Yang Teramat Mulia Baginda Sultan Perak yang ke-34 iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah, dengan syarat tidak meruntuhkan struktur asal dan struktur tambahan tidak menonjol dari rekabentuk asal.


Masjid Ubudiah - Asal



Masjid Ubudiah - Selepas diubahsuai

 
LANTIKAN PERUNDING 
 
Pada tahun 1990, sebuah firma Arkitek iaitu Akitek Suria telah dilantik oleh Jabatan Kerja Raya Perak untuk melakukan lukisan terukur Masjid Ubudiah. Tujuannya adalah untuk menambah ruang solat kerana lukisan asal masjid tidak dapat diperolehi lagi. Firma Akitek Suria yang diterajui oleh seorang Arkitek Professional bernama Ar. Haji Mior Zawari bin Haji Hassan adalah berasal daripada Kampung Karai, Enggor, Perak. Beliau telah dipertanggungjawabkan untuk membuat kerja-kerja mengukur keseluruhan bangunan masjid. Lukisan terukur telah dapat disiapkan dengan sempurna dalam masa 6 bulan dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya Perak pada 10 Oktober 1990. Lukisan-lukisan yang dihantar termasuklah pelan tapak, pelan lantai, pelan bumbung, keratan, pandangan hadapan, pandangan belakang, pandangan sisi, pelan siling, butiran jelas hiasan dinding, butiran jelas menara kecil dan besar, butiran jelas pintu serta tingkap dan butiran jelas hiasan dalaman masjid. Seterusnya, kerja-kerja cadangan merekabentuk telah dilakukan, ditender dan keseluruhan kerja-kerja tambahan dan ubahsuai telah dapat disiapkan dengan sempurna pada tahun 1994.


Pelan Tapak - asal
-Dilukis tangan oleh Akitek Suria-
 



Pelan Tapak & Landskap - selepas diubahsuai
-Dilukis tangan oleh Akitek Suria-

Atas : Pelan Lantai sebelum diubahsuai
Bawah : Pelan Lantai selepas diubahsuai
-Dilukis tangan oleh Akitek Suria-
 

Atas : Pandangan hadapan sebelum diubahsuai (asal)
Bawah : Pandangan hadapan selepas diubahsuai
-Dilukis tangan oleh Akitek Suria-
 


Pintu Pagar Utama
-Dilukis tangan oleh Akitek Suria-


 
 
MASJID ASAL PADA TAHUN 1991
 
Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan iaitu kira-kira 3 kilometer jaraknya dari Bandar Diraja Kuala Kangsar telah dibina pada tahun 1914. Masjid ini diakui sebagai salah sebuah masjid yang tercantik di negara ini dan merupakan kebanggaan umat Islam di negeri Perak amnya dan Kuala Kangsar khasnya. Adalah diberitahu bahawa masjid ini tidak pernah diubahsuai kecuali bahagian kubah besar dan sebahagian kubah kecil telah diganti dengan kubah aluminium kerana kubah konkrit yang terdahulu telah pecah. Keluasan keseluruhan lot masjid adalah 3.187 ekar atau 138,826 kaki persegi dan pada asalnya masjid dipagari dengan dinding konkrit yang berbentuk bulatan. Keluasan bangunan masjid asal yang dipagar adalah lebih kurang 50,000 kaki persegi dan dikelilingi oleh rumah kediaman imam, Makam Diraja dan rumah kediaman.

Transformasi Masjid Ubudiah

Masjid Ubudiah pada tahun 1917 (tahun siap dibina)

 
Masjid Ubudiah pada tahun 1920an


Masjid Ubudiah pada tahun 1920an
 
Masjid Ubudiah pada tahun 1930an

Masjid Ubudiah pada tahun 1960an

Masjid Ubudiah pada tahun 1970an

Masjid Ubudiah pada tahun 1980an


Masjid Ubudiah pada tahun 1990an 




Pelan masjid berbentuk segi lapan dan dicantumkan ke ruang wuduk di bahagian belakang yang juga berbentuk segi lapan yang berukuran lebih kecil. Secara amnya, pelan masjid direkabentuk secara simetrikal di mana kiri dan kanan adalah sama. Terdapat satu kubah besar yang menutupi ruang solat utama di samping 5 kubuh kecil yang lain. Masjid mempunyai 4 menara utama yang tinggi dan 16 menara kecil yang rendah. Keempat-empat menara utama boleh dinaiki dengan menggunakan tangga manakala, 16 menara kecil yang lain merupakan elemen hiasan sahaja.
 
Keluasan ruang masjid termasuk tiang serta dinding dan tidak termasuk ruang wuduk adalah lebih kurang 7,888 kaki persegi.  Ruang solat utama berukuran lebih kurang 3,420 kaki persegi dan boleh menampung kira-kira 427 orang jemaah. Di keliling ruang solat utama terdapat serambi, setor dan mihrab yang mempunyai keluasan kira-kira 4,469 kaki persegi. Kawasan serambi boleh menampung kira-kira 391 jemaah setelah ditolak ruang-ruang yang mempunyai tiang dan dinding. Ruang wuduk di bahagian belakang disediakan kolah besar yang berbentuk segi lapan dan dihubungkan kebahagian serambi untuk ke ruang solat utama.
 
 
SENIBINA UBAHSUAI MASJID TAHUN 1991
 
Tujuan utama ubahsuai dan tambahan ini dilaksanakan adalah bagi menambah ruang solat untuk menampung bilangan jemaah setempat yang kian bertambah. Dengan pertambahan ruang solat ini maka, masjid ini bukan sahaja menjadi bahan tarikan pelancong, malahan ianya boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat dengan sepenuhnya untuk tujuan ibadat.

Untuk mengekalkan senibina asal masjid supaya ruang tambahan tidak terlalu menonjol maka, ruang solat tambahan yang dicadangkan adalah di kiri dan kanan bahagian belakang masjid. Ruang tambahan ini adalah merupakan ruang tambahan terbuka kepada ruang ‘serambi’ yang sedia ada. Ruang tambahan yang berukuran kira-kira 4,463 kaki persegi boleh menampung tambahan kira-kira 557 jemaah selain daripada 818 ruang solat yang sedia ada. Dewan solat sedia ada boleh menampung kira-kira 427 jemaah dan ruang serambi sedia ada boleh menampung kira-kira 391 jemaah. Ini bermakna, kapasiti jemaah keseluruhan untuk masjid ini adalah 1,357 jemaah. Rekabentuk ruangan tambahan ini telah diselaraskan dengan senibina sedia ada supaya keaslian rekabentuk asal dapat dikekalkan tanpa menyedari ruang tambahan kepada ruang solat telah dilakukan.
 
Di samping itu, satu anjung kereta untuk kegunaan kenderaan Baginda Sultan atau kenderaan kecemasan disediakan di sisi masjid untuk kemudahan Baginda serta semasa kecemasan. Rekabentuk anjung kereta ini juga tidak ditonjolkan tetapi diselaraskan dengan rekabentuk yang sedia ada. Di luar kawasan masjid berhampiran tempat meletak kenderaan terdapat sebuah rumah kecil yang telah diubahsuai untuk dijadikan kafeteria serta Pejabat Penerangan untuk kemudahan pelancong. Adalah diharapkan masjid ini dapat dipelihara untuk rujukan generasi masa hadapan.
 
GAMBAR SEMASA PENGUBAHSUAIAN



"Arches" dan "cornices" dalam proses pengubahsuaian dan penambahan






Gambar butir jelas tiang dan menara masjid
 
 
UBAHSUAI DAN TAMBAHAN DI PERSEKITARAN MASJID PADA TAHUN 1991

Di luar kawasan masjid yang tidak begitu teratur persekitarannya ditambah baik dari segi kemudahan meletak kenderaan dan landskap.
 
Kawasan hadapan masjid yang dahulunya kosong dan terbiar diubahsuai dan disediakan 82 tempat letak kereta dan 30 lot tempat meletak motosikal untuk kemudahan jemaah dan pelancong. Kawasan berkenaan juga ditanam pokok-pokok jenis ‘yellow flame’ untuk meredupkan kawasan serta menceriakan suasana di sekeliling masjid.
 
Dua jalan asal, kenderaan untuk masuk ke kawasan masjid diubah kepada hanya satu untuk kegunaan kenderaan Diraja atau kecemasan sahaja supaya keadaan persekitaran masjid dipelihara dan bebas dari sebarang kenderaan. Di kiri dan kanan jalan berkenaan, juga di persekitaran kawasan dalaman masjid ditanam pokok jenis ‘royal palm’ agar masjid tidak terlindung serta dapat mewujudkan suasana yang ‘formal’ jika jalan masuk berkenaan digunakan oleh kenderaan Diraja. Rumput jenis ‘carpet grass’ ditanam di padang yang rata agar suasana kawasan masjid menjadi lebih tenang dan menarik.
 
Pagar konkrit sedia ada yang berbentuk bulatan diganti dengan pagar yang lebih menarik dan diselaraskan dengan hiasan masjid supaya masjid dan persekitarannya mempunyai pertalian dari segi senibinanya. Satu pintu gerbang utama didirikan dengan tujuan untuk memberitahu lokasi pintu masuk utama ke kawasan masjid ini. Ini memudahkan pergerakan jemaah atau pelancong untuk mengunjungi masjid ini.
 
Untuk menyerikan lagi persekitaran masjid, air pancutan yang mempunyai ciri-ciri rekaan senibina hiasan Islam ditempatkan di hadapan ruang masuk utama masjid. Selain daripada itu, laluan pejalan kaki di sekitar kawasan masjid disediakan slab konkrit yang berukuran 2 kaki x 2 kaki supaya lebih memperlihatkan keadaan semula jadi dan tidak licin. Di kiri dan kanan bahagian belakang masjid juga disediakan slab konkrit dan ditanam ‘carpet grass’ dicelahnya supaya kawasan berkenaan juga boleh digunakan sebagai ruang solat tambahan sekiranya jemaah terlalu ramai seperti semasa menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya.
 
Persekitaran masjid sebelum diubahsuai
Persekitaran masjid selepas diubahsuai
 

 
 
 
 
 
 
 
  

AKITEK SURIA
Level 7, MZH Centre
Lot 330, Batu 8
Jalan Ulu Kelang
68000 Ampang
Selangor


www.akiteksuria.com.my